Thursday, July 23, 2020

BAB 6 : BIODATA PENULIS


Penulis diberi nama Norhafizah binti Mat Yusoff. Anak ke 4 dari 11 beradik. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan kini menetap di Kuala Nerus, Terengganu. Telah berkahwin dan direzekikan 7  cahayamata. Suami berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin, UniSza Gong Badak.  

Latar belakang pendidikan awal bermula SK Mentuan Kota Bahru, Kelantan. Pendidikan menengah  pula di SMU (A) Ar-Rahmah Kenali dan juga SMU (A) Amir Indera Petra. Selepas PMR, beliau menyambung pengajian ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.  Selepas SPM, beliau terus melanjutkan pelajaran ke Pra Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri sebelum seterusnya menyambung peringkat ijazah Sarjana Muda dan Master Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam bidang Usuluddin (Al-Quran dan Al-Hadith). 

Semasa menyiapkan tesis Master, beliau telah mengambil Diploma Pendidikan dengan memohon KPLI. Pada tahun 2004, beliau mula berkhidmat sebagai seorang guru dan sekolah pertama tempat beliau berkhidmat adalah di Kota Belud, Sabah. 

  Pengalaman kerja beliau adalah berkhidmat sebagai penjawat awam sekolah kerajaan selama 11 tahun ( 2004- 2015). Jun 2015 beliau akhirnya nekad meletak jawatan atas banyak faktor. 

Setelah bergelar suri rumah sepenuh masa, beliau mempunyai banyak masa untuk kembali belajar dan menampung lompang-lompang ilmu yang ada. Antaranya beliau mengikuti Kelas Talaqqi Al-Quran dan Kelas Tahsin Al-Quran Untuk Guru di bawah Pusat Talaqqi Batu Rakit, Terengganu. Pengalaman berguru dan bertalaqqi dengan guru Al-Quran (Syeikhah) dari Yaman sejak akhir tahun 2018 hingga kini, banyak  menyedarkan beliau tentang pentingnya berguru dalam proses belajar al Quran dan banyak  memperkukuhkan lagi kefahamannya tentang Ilmu Tajwid al-Quran.

Bertitik tolak daripada itu, timbul keinginan penulis untuk berkongsi dengan orang lain, ilmu Asas Tajwid yang beliau dapati daripada Kelas Talaqqi. Untuk permulaan, penulis cuba berkongsi tentang Sifat dan Makhraj Huruf sahaja kerana sepanjang pemerhatian beliau, ia adalah antara cabang ilmu tajwid yang kurang sampai kepada ramai orang.



   









































                                                                 
       

BAB 5 : STRATEGI PENGUASAAN MAKHRAJ DAN SIFAT HURUF



Untuk menyebut sesuatu huruf dengan betul, perlu dilakukan 3 perkara:


  1. Mengetahui tempat keluar ( makhraj) huruf dan menyebutnya dari tempat keluar tersebut.
  2. Mengetahui dan menyebut sifat huruf dengan sempurna.
  3. Menyebut huruf di hadapan guru yang mempunyai kepakaran.



Contoh 1:

 Makhraj ه

Makhrajnya dalam tengkuk selepas berhampiran makhraj ء.


Sifat ه


  1. Nipis. Oleh itu  lidah ( pangkal,tengah dan hujung lidah) berada di lantai mulut ketika menyebutnya.
  2. Angin dan suara keluar. Oleh itu ketika ه mati suara tidak terhenti atau tenggelam. Beza dengan huruf ء. Jika dimatikan huruf ء suara dan angin terhenti serta merta.
  3. Tengkuk menjadi luas ketika menyebut huruf ه.



4.1 Pengertian Sifat Huruf dan Kepentingan Memahaminya



4.1 Pengertian Sifat Huruf 

Pengertian sifat dari segi bahasa adalah sesuatu yang  berdiri pada ssuatu benda seperti hitam, putih, kuat, lemah dan sebagainya.

Manakala dari segi istilah pula ilmu tajwid pula, sifat huruf ciri yang menjelaskan perihal suara sesuatu huruf.

Sebahagian ulama' lain pula menyatakan maksud sifat huruf dari segi istilah adalah cara menekan (menyekat) udara ketika bunyi huruf dilafazkan samada tinggi, nyaring, kuat dan sebagainya.

Melalui sifat atau ciri-ciri huruf inilah sesorang dapat membezakan suara sesuatu huruf dengan huruf-huruf yang lain sekalipun huruf tersebut mepunyai tempat keluar huruf (makhraj) yang sama. 


4.2 Faedah dan kepentingan mempelajari dan memahami sifat-sifat huruf al-Quran:

1. Pelengkap kepada makhraj huruf. Dengan mengetahui sifat huruf, kita dapat mebezakan  huruf yang berkongsi pada satu makhraj tetapi sebutannya berbeza. 
    

2. Dapat mengetahui antara huruf yang kuat dengan huruf yang lemah atau huruf yang tebal dan nipis.


3. Memperkemaskan ketepatan sebutan sesuatu huruf supaya ia dapat dilafazkan dengan betul. Ini terutamanya bagi huruf yang hampir sama sebutannya seperti huruf هـــ  dan ح



3.1 Pengenalan Makhraj Huruf

Pendahuluan


Makhraj Huruf adalah suatu ilmu yang sangat penting dalam pengajian ilmu tajwid. Dalam sesetengah kitab tajwid, tajuk ini dijadikan tajuk pertama dalam perbahasan ilmu tajwid.  Ini kerana sebutan yang betul bagi setiap huruf merupakan asas dan ia akan memudahkan seseorang menyebut dan melafazkan ayat-ayat Al-Quran dengan bertajwid. 



3.1.1 Pengertian Makhraj Huruf :
  
Makhraj bermaksud tempat keluar suara huruf-huruf al-Quran.

Dalam bab ini, kita akan bincangkan  tempat keluar suara huruf-huruf al-Quran dan suara-suara sebutan lain yang berkait terus dengan pembacaan al-Quran seperti suara dengung, mad dan lain-lain lagi.


3.1.2 Bilangan Huruf Al-Quran Yang Terlibat

Para Ulama' sepakat menetapkan jumlah huruf-huruf al-Quran (huruf Hijaiyyah) adalah sebanyak 29 huruf.   Huruf-huruf yang dimaksudkan adalah : 


 ا    ب   ت   ث   ج   ح   خ   د  ذ  ر   ز   س   ش   ص   ض  
 ط   ظ   ع   غ  ف   ق   ك   ل   م    ن    و    هــ   ء   ي


Bagaimanapun, sebahagian ulama' yang lain pula menetapkan bilangan  huruf Al-Quran 28 huruf sahaja. Ini kerana mereka tidak mengira huruf   ا   sebagai huruf konsonan. Huruf   ا  hanya dikira sebagai huruf mad atau vokal.


3.1.3 Perkara yang dititik beratkan dalam pengajian makhraj huruf

Perkara yang perlu difahami oleh para pelajar adalah huruf hanya wujud pada tulisan bukan pada sebutan (lafaz).  Apabila sesuatu huruf dilafazkan, yang keluar itu  adalah sebutan huruf bukan tulisannya.  Oleh yang demuikian, apabila kita membicarakan tentang Makhraj Huruf, kita sebenarnya mebicarakankan tempat keluar huruf tersebut dan bukan tentang tulisannya. Apa yang dilafazkan itulah suara huruf dan bukan tulisannya.


Dalam membincangkan makhraj huruf ini juga, perkara yang utama ditekankan para Qurra'  (ahli pembaca Al-Quran) adalah menyebut huruf tersebut secara betul dan tepat sebagaimana diturunkan atau diriwayatlkan daripada Rasulullah s.a.w. 


Perbahasan ini bukanlah untuk mengenalpasti dari mana keluar sesuatu suara itu, kerana tempat keluar suara huruf itu akan melibatkan perbincangan ilmu perubatan dan juga ilmu pergigian. 

2.3 Persiapan Seorang Pelajar Semasa Belajar Ilmu Tajwid

2.3  Persiapan Seorang Pelajar Semasa Belajar Ilmu Tajwid


Antara persiapan seorang pelajar semasa belajar ilmu tajwid khususnya berkait dengan makhraj dan sifat huruf pula adalah:

1. Menyediakan peralatan yang sesuai 

Antara peralatan atau bahan yang boleh digunakan untuk membantu kefahaman dalam pengajian adalah:

a) Cermin muka. 
Fungsi cermin muka adalah untuk melihat kedudukan lidah dan bukaan mulut.

b) Poster atau gambar makhraj huruf
Poster dan gambar berkait dengan makhraj ini biasanya melibatkan gambar halqum, lidah, lelangit, hidung dan bibir. 

 
2. Menyediakan buku catatan dan menghafalnya

Seorang pelajar yang baik, akan sentiasa memastikan sentiasa ada bersamanya buku nota atau buku catatan semasa menghadap guru dan belajar. 

Saya teringat antara peringatan guru kami. Beliau menyatakan bahawa antara punca kelemahan pelajar adalah banyak belajar, tetapi tidak mahu mencatat dan ada juga sebahagian yang mecatat tetapi tidak menghafalnya.



3. Bersedia Untuk Ditegur dan diperbaiki bacaan

Di antara kesilapan ketika talaqqi al Quran ialah pelajar membaca ayat sebelum guru selesai membacanya. Perbuatan tersebut seolah-olah menunjukkan pelajar tidak suka ditegur oleh guru.

Peringatan Allah berkaitan tindakan ini ada di dalam Al-Quran. Firman Allah:

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu)


  

1.1 Pendahuluan

1.1 PENDAHULUAN

Allah menurunkan Al-Quran kepada manusia sebagai panduan hidup manusia keseluruhannya. Al-Quran diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s kepada Rasulullah s.a.w berperingkat-peringkat selama 23 tahun.

  Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan tugas baginda dengan mengajar dan menyampaikan al-Quran kepada para sahabat baginda.  Para sahabat pula telah menerima ilmu berkaitan al-Quran ini dan menjaganya di dalam dada dan mempraktiknya dalam amalan mereka dan seterusnya  mereka meneruskan tugas baginda Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan dan menyebarkan al-Quran dengan  mengajar para tabi'ien selepas mereka. Begitulah seterusnya al-Quran ini diwariskan kepada generasi demi generasi sehingga sampai kepada kita pada hari ini. 

Salah satu mukjizat al-Quran yang dijanjikan oleh Allah adalah ia terjaga dan terpelihara sifatnya sehingga hari kiamat. Al-Quran ini terpelihara samada dari segi tulisan dan juga bacaan.  Walaupun Al-Quran ini telah wujud sejak beribu tahun dahulu, al-Quran yang kita baca dan guna pada hari ini adalah sama dengan yang diterima oleh Rasulullah s.a.w dahulu. Hebatnya ketentuan Allah ini yang tidak dapat kita jangkau dengan akal fikiran kita. 

Sejak zaman Rasulullah s.a.w,  baginda sangat berhati-hati dalam menjaga kesahihan bacaan baginda walaupun baginda telah terjamin terpelihara daripada melakukan kesilapan. Baginda tetap menyemak bacaan dengan malaikat Jibrail setahun sekali pada bulan Ramadhan. Hal ini dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :  ( m/s2)




Maksudnya : 
Adalah Jibril a.s mengemukakan bacaan Al-Quran pada setiap tahun (pada bulan Ramadhan). Pada tahun baginda wafat, bacaannya dikemukakan dua kali. Adalah Nabi s.a.w beriktikaf 10 hari pada setiap tahun (bulan Ramadhan). Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf 20 hari.
 (Hadis 4614 Sahih Bukhari)


Rasulullah s.a.w mengajar dan menurunkan bacaan yang baginda terima daripada malaikat Jibril a.s tanpa mengubahnya dengan cara Talaqqi dan Musyafahah. Rasulullah s.a.w amat menitikberatkan pembelajaran dan ketepatan bacaan al-Quran dan perlunya bacaan al-Quran ini diambil daripada orang yang berkelayakan. 

Pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda telah menentukan beberapa sahabat yang layak diambil bacaan mereka dengan menyebut nama sahabat tersebut satu persatu. Dalam sebuah hadis daripada Abdullah Ibnu 'Amr, Rasulullah s.a.w bersabda :  


Maksudnya : Ambillah bacaan Al-Quran itu daripada empat orang iaitu Abdullah Ibnu Mas'ud, Salim,  Mu'az bin Jabal dan Ubai bin Ka'ab .
Sahih Bukhari, Hadis ke 4615


Daripada secebis sirah Rasulullah ini, kita dapat mengambil iktibar bahawa pembacaan al-Quran secara tepat dan betul tidak boleh dipandang remeh. Sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi, dapat kita fahami wujud kaedah dan cara tersendiri untuk memastikan bacaan itu betul dan tepat sebagaimana ia diturunkan. Kaedah yang kita panggil sebagai Talaqqi dan Musyafahah itu adalah kaedah yang sangat ditekankan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan generasi demi generasi selepasnya hingga ke hari ini. Kaedah ini sangat penting demi memastikan bacaan tersebut berkesinambungan dari sebutan guru kepada guru yang lain sehingga kepada sebutan guru yang paling agung Rasululllah s.a.w. 

Justeru, menjadi amanah kepada kita generasi hari ini untuk meneruskan warisan ini. Mudah-mudahan penulisan kecil ini menjadi salah satu asbab kita kembali mencari guru yang berkelayakan dan terus membetulkan bacaan al-Quran kita sehingga kita mampu mencapai bacaan sebenar sebagaimana ia diturunkan.