Thursday, July 23, 2020

3.1 Pengenalan Makhraj Huruf

Pendahuluan


Makhraj Huruf adalah suatu ilmu yang sangat penting dalam pengajian ilmu tajwid. Dalam sesetengah kitab tajwid, tajuk ini dijadikan tajuk pertama dalam perbahasan ilmu tajwid.  Ini kerana sebutan yang betul bagi setiap huruf merupakan asas dan ia akan memudahkan seseorang menyebut dan melafazkan ayat-ayat Al-Quran dengan bertajwid. 



3.1.1 Pengertian Makhraj Huruf :
  
Makhraj bermaksud tempat keluar suara huruf-huruf al-Quran.

Dalam bab ini, kita akan bincangkan  tempat keluar suara huruf-huruf al-Quran dan suara-suara sebutan lain yang berkait terus dengan pembacaan al-Quran seperti suara dengung, mad dan lain-lain lagi.


3.1.2 Bilangan Huruf Al-Quran Yang Terlibat

Para Ulama' sepakat menetapkan jumlah huruf-huruf al-Quran (huruf Hijaiyyah) adalah sebanyak 29 huruf.   Huruf-huruf yang dimaksudkan adalah : 


 ا    ب   ت   ث   ج   ح   خ   د  ذ  ر   ز   س   ش   ص   ض  
 ط   ظ   ع   غ  ف   ق   ك   ل   م    ن    و    هــ   ء   ي


Bagaimanapun, sebahagian ulama' yang lain pula menetapkan bilangan  huruf Al-Quran 28 huruf sahaja. Ini kerana mereka tidak mengira huruf   ا   sebagai huruf konsonan. Huruf   ا  hanya dikira sebagai huruf mad atau vokal.


3.1.3 Perkara yang dititik beratkan dalam pengajian makhraj huruf

Perkara yang perlu difahami oleh para pelajar adalah huruf hanya wujud pada tulisan bukan pada sebutan (lafaz).  Apabila sesuatu huruf dilafazkan, yang keluar itu  adalah sebutan huruf bukan tulisannya.  Oleh yang demuikian, apabila kita membicarakan tentang Makhraj Huruf, kita sebenarnya mebicarakankan tempat keluar huruf tersebut dan bukan tentang tulisannya. Apa yang dilafazkan itulah suara huruf dan bukan tulisannya.


Dalam membincangkan makhraj huruf ini juga, perkara yang utama ditekankan para Qurra'  (ahli pembaca Al-Quran) adalah menyebut huruf tersebut secara betul dan tepat sebagaimana diturunkan atau diriwayatlkan daripada Rasulullah s.a.w. 


Perbahasan ini bukanlah untuk mengenalpasti dari mana keluar sesuatu suara itu, kerana tempat keluar suara huruf itu akan melibatkan perbincangan ilmu perubatan dan juga ilmu pergigian. 

No comments:

Post a Comment