1.3 Mengenali Kesalahan-kesalahan Dalam Bacaan Al-Quran ( Al-Lahn)
Membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul adalah wajib bagi setiap muslim. Melakukan kesalahan bacaan adalah haram hukumnya dan mencacatkan bacaannya pula adalah merupakan satu dosa.
Para ulama' Quraa' (pembaca al-Quran) telah membahagikan kesalahan-kesalahan dalam bacaan al-Quran terbahagi kepada 2 bahagian. Kesalahan ini di namakan kesalahan yang nyata (Al-Lahn Al-Jaaliy) dan kesalahan yang tersembunyi (Al-Lahn Al-Khafiyy).
1.3.1. Kesalahan yang nyata (Al-Lahn Al-Jaaliy)
Kesalahan yang berlaku pada sebutan huruf samada membawa kepada perubahan makna atau tidak. Kesalahan ini dinamakan kesalahan yang nyata kerana kesalahan ini terang terangan dapat dikesan oleh semua orang tidak kira orang yang mahir dalam ilmu tajwid dan kalangan ahli-ahli pembaca Al-Quran atau orang biasa sahaja.
Antara kesalahan yang termasuk dalam kesalahan yang nyata adalah:
a) Menukar bacaan huruf
Contoh :
i) Menukar bacaan huruf Zal (ذ) kepada Zai (ز) dalam kalimah الذي.
ii) Menukar bacaan huruf To' (ط) kepada Ta (ت) dengan meninggalkan sifat isti'la' (bacaan tebal) yang ada pada huruf To' (ط) tersebut.
b) Kesalahan yang berlaku pada tanda bacaan
Kesalahan menukar tanda bacaan / baris boleh membawa kepada perubahan makna perkataan asal dan kadang kala tidak mengubah makna tetapi merosakkan susunan perkataan itu sendiri.
Contoh : Kalimah انعمتَ عليهم dibaca انعمتُ عليهم. Huruf ta' berbaris atas dbaca dengan baris hadapan. Makna pada aslnya ialah "kamu beri nikmat', telah bertukar menjadi "aku beri nikmat".
Contoh: Bacaan اَلحَمْدُلله dibaca dengan الحَمْدَلله iaitu huruf dal yang berbaris hadapan dibaca dengan baris atas. Kesalahan ini walaupun tidak mengubah makna, ia tetap salah kerana merosak susunan ayat dan mengubah kalimah daripada asal.
Hukum Bagi Kesalahan Yang Nyata
Hukum bagi kesalahan nyata adalah haram dan berdosa secara Ijma' Ulama', tidak kira ia disengajakan atau tidak. Bagi yang tidak sengaja atau tidak tahu, maka moga Allah Yang Maha Pengampun akan mengampuni mereka. Bagaimanapun mereka wajib untuk belajar membetulkan bacaannya. Jika ini berlaku di dalam solat (bacaan sembahyang), hukum solatnya tidak sah.
No comments:
Post a Comment