3.2 Mengenal Jenis Makhraj Huruf Al-Quran
Pendahuluan
Tempat keluar suara huruf-huruf al-Quran (makhraj huruf) ada yang dapat dikenalpasti tempat keluarnya dan ada suara yang tidak dapat ditentukan dengan tepat tempat keluarnya.
Kedua-dua keadaan ini kita namakan sebagai Makhraj Muhaqqaq dan Makhraj Muqaddar.
3.2.1 Makhraj Muhaqqaq
Makhraj Muhaqqaq bermaksud makhraj huruf yang dapat dikenalpasti tempat keluarnya seperti suara huruf yang keluar dari lidah, bibir, hidung, halqum dan sebagainya.
Suara Huruf Makhraj Muhaqqaq
1. Kesemua 28 huruf Hijaiyyah (kecuali alif).
Semua huruf ini termasuk dalam huruf-huruf Makhraj Muhaqqaq iaitu suara-suara huruf yang mempunyai tempat keluar yang dapat ditentukan.
2. Suara dengung (ghunnah)
Suara dengung adalah suara yang keluar daripada huruf Mim dan Nun sukun. Suara dengung termasuk dalam Makhraj Muhaqqaq.
3.2.2 Makhraj Muqaddar
Makhraj Muqaddar ialah makhraj yang tidak dapat ditentukan dengan tepat tempat keluar suaranya.
Suara Huruf Makhraj Muqaddar
Antara suara huruf yang termasuk dalam Makhraj Muqaddar adalah suara 3 huruf mad iaitu alif sebelumnya berbaris atas, huruf Ya' sebelumnya berbaris bawah dan wau sebelumnya berbaris hadapan.
Suara huruf-huruf mad ini muqaddar kerana makhraj bagi huruf-huruf mad ini adalah Al-Jauf iaitu rongga mulut dan rongga halqum. Ruang lapang antara kedua rongga mulut dan halqum ini menjadikan suara-suara mad ini tidak dapat ditentukan ddengan tepat.
Selain itu, suara-suara mad ini juga bergantung dengan huruf-huruf lain sebelumnya yang berbaris di atas, di bawah atau di hadapan.
Perlu diingatkan, huruf-huruf mad ini apabila ia berbaris, ia akan ada tempat keluarnya yang tersendiri. Contohnya apabila alif berbaris atas, ia adalah huruf hamzah (ء) yang keluar dari hujung halqum. Huruf waw (و) pula apabila ia berbaris keluar dari bibir dan huruf ya (ي) pula keluar dari tengah lidah.
Kesimpulan
Huruf-huruf al-Quran adalah sebanyak 29 huruf, tetapi sebahagain ulama' menetapkan huruf al-Quran yang dibincangkan adalah sebanyak 28 huruf sahaja kecuali alif (ia termasuk huruf mad).
Suara mad ( 3 suara ) dan dengung juga termasuk suara-suara huruf al-Quran. Ini menjadikan jumlah sebutan huruf al-Quran yang akan dibincangkan adalah sebanya 30 huruf.
No comments:
Post a Comment